Sengketa Kita, Ketawa Musuh

Hai manusia
Lihatlah engkau galak sengketa
Manusia beradu domba
Saling mencaci hina
Musuh dalam selimut kau sangka kawan
Gunting dalam lipatan kau sangka teman
Lihatlah musuhmu bersukaria
Kala kau galak berdusta
Menanti engkau tergolek hina
Hilang tanah sekangkang kera
Hai sudahlah lemah dan hina
Berdagang di tanah sendiri pula
Bala Allah kau undang segala
Dan musuhmu hilai ketawa
Lesaplah mulia kurnia
Yang tinggal cuma nama
Menunggu tiba celaka
Andai terus galak sengketa

Apresiasi Guru Murabbi

Menjadi guru tidak mudah. Itu yang saya boleh katakan selepas hampir dua tahun berkhidmat. Cabaran dan mehnah yang perlu dihadapi sebagai seorang guru benar-benar menghambat perasaan, memerah tenaga, membuat jiwa lara. Apalagi matlamat kita bukan sekadar menjadi seorang guru biasa, tetapi seorang murabbi. Menjadi seorang guru murabbi bukan sekadar menggalas tugas sebagai guru matapelajaran, guru kelas,  guru rumah sukan, guru unit beruniform, guru kelab sukan, bahkan menjadi seorang guru murabbi menjelaskan kepada kita bahawasanya kita mempunyai matlamat atau objektif yang lebih besar dan mulia untuk dicapai.

Sebagai seorang guru murabbi, tidak kiralah subjek apa yang diajarnya, bidang apa yang menjadi tanggungjawabnya, unit mana menjadi kelolaannya, yang menjadi timbang tara kerjanya adalah ‘Allah’, baik sebagai matlamat awal, mahupun akhir. Dia akan melihat dari sudut di mana dia boleh memberi manfaat kepada deen ini semula akhirnya, tanpa mengira bagaimana dan di mana dia bermula. Sekiranya dia menjaga bidang disiplin, maka dia bukan sekadar membetulkan bagaimana seorang pelajar berpakaian, beradab, bersosial, bahkan dia membangunkan peribadi dan jiwanya. Begitulah pula dalam segala macam hal yang berlaku dalam seharian hidup guru tersebut.

Ada guru mendapat penempatan yang bagus, ada guru mendapat penempatan di pedalaman, ada pula yang mendapat penempatan di sekolah-sekolah berasrama penuh, dan bermacam lagi. Bagi setiap tempat yang kita ditugaskan, bersyukurlah dan berusahalah untuk memperbaiki keadaan yang perlu. Saya ditugaskan ditempat yang saya tidak pernah terniat untuk pergi ataupun minta semasa mengisi borang penempatan. Hanya setelah dua bulan saya di sini barulah saya menyedari bahawa saya sebenarnya ada membuat solat hajat meminta kepada Allah supaya menempatkan saya di sekolah yang memerlukan kebolehan saya. Alhamdulillah, semenjak hari itu saya redha dengan ketetapan tersebut dan tetap mengajar sehabis baik dan mencuba sedaya upaya saya mendidik anak-anak murid saya menjadi hamba kepada Allah.

Saya amat yakin, kadang-kadang kita berasa lemah dan tiada kuasa untuk mengajar. Melihatkan anak-anak murid kita yang malas belajar, bermasalah disiplin, selalu tidak siap kerja sekolah, tidak beradab dengan guru dan bermacam lagi, semuanya ini membuatkan kita rasa kerjaya kita akan sampai ke penghujungnya dalam masa terdekat. Bersabarlah para guru, sesungguhnya hidup dan kerja yang kita lakukan ini adalah suatu ujian dan cubaan bagi kita. Takkanlah Allah meletakkan kita di suatu posisi yang mana kita tidak mampu untuk uruskan, melainkan kita sebenarnya mampu?! Sampai di tahap ini, kita perlu muhasabah semula dan membuat refleksi, hitung-hitung semula niat kita, adakah semuanya ikhlas kerana Allah. Kadang-kadang, kita terlupa, terlampau sibuk dengan bebanan kerja sehingga kita lupa akan niat kita di awal mengajar dahulu. Renung-renungkan, kemudian, akui bahawa adanya kelemahan yang berlaku, kemudian tariklah nafas sedalamnya dan manfaatkan waktu yang ada untuk mencari semula energi dan semangat yang telah luntur itu.

Ada satu prinsip yang saya pegang apabila meniatkan diri menjadi guru murabbi di awal dahulu. Kehidupanku ialah kehidupan anak-anak didikku. Menjadi seorang guru meletakkan kita di suatu tempat atau maqam yang mulia. Ia bukan sesuatu yang diangkat oleh manusia, tetapi ia telah di-‘ihtiram’-kan (dimuliakan) oleh Allah dan Rasul-Nya.

“Sebaik-baik kamu adalah yang belajar al-Quran dan mengajarkannya” (riwayat al-Bukhari).

Berbanggalah menjadi guru, namun perlu diingat, menjadi guru tidak pula membenarkan kita menjalani kehidupan dua alam. Di dalam sekolah lain di luar sekolah berbeza. Seorang guru adalah suatu model yang menjadi rujukan dan pilihan pelajar, baik seorang guru yang baik ataupun tidak.

Saya bukan mengatakan bahawa kita tidak mempunyai kehidupan, cuma kehidupan seorang guru itu, sejatinya dengan Islam dan risalah. Menegakkannya tanpa menghidupkannya adalah seumpama menanam pokok yang tidak berbuah. Hidup dengan sihat, tetapi tidak membawa manfaat yang kekal. Akhirnya akan dicantas hanya menjadi kayu api. Hiduplah sebenar-benarnya dengan Islam, maka ia akan hidup bersama dengan kita. Menjadi seorang guru murabbi, hampir setiap hari rumah saya dihadiri oleh anak-anak didik saya. Kadang-kadang saya ajak, kadang-kadang mereka yang mahu datang. Apapun, pintu sentiasa saya bukakan. Lebih banyak ruang untuk kita mendekati pelajar ini dan perbaiki apa yang perlu.

Para guru murabbi sekalian, berbanggalah menjadi seorang guru, meskipun anak-anak didik kalian tidak datang mengucapkan Selamat Hari Guru atau menghadiahkan kalian dengan sesuatu. Cukuplah dengan dia menjadi manusia dan hamba kepada Allah, maka ganjarannya akan tetap berpanjangan dan berterusan. Pedulikan apa yang manusia di sekeliling kita katakan, kerana sesungguhnya ini adalah zaman fitnah. Jagalah adab kita dengan Allah dan masyarakat. Selamat Hari Guru.

Korban Dakwah

Mengimbau kembali kenangan dua tahun lepas, saya ke UIAM untuk Interschool Debating Championship bersama akh Hakim Bahaman. Ketika itu saya masih di tahun akhir pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dalam TESL. Meski sudah bersara secara tidak rasmi dari dunia perdebatan, darah dan semangat debat masih mengalir dalam tubuh. Teringin melihat generasi baru berdebat, semoga mendapat izzah dan kekuatan. Namun, saya bukan ingin menulis tentang IDC mahupun pengalaman saya dalam arena debat. Saya ingin coretkan pengalaman yang berlaku kepada saya ketika ke sana.

Ketika mencari jalan untuk ke tempat berkumpul pasukan debat, saya dan akh hakim hampir tidak terjumpa tempatnya kerana tidak biasa dengan UIAM, apalagi KAED (Kulliyyah of Architecture and Environmental Design). Kebetulan ketika menaiki tangga berhampiran dengan surau KAED, terserempak dengan salah seorang peserta debat. Sambil bertanyakan jalan, kami sempat berseloroh dengan peserta tersebut. Saya pula mengukir senyum memikirkan dia sebagai mad’u berpotensi untuk dakwah. Kami berlalu tanpa berfikir banyak. Saya bahkan tidak terfikir akan bertemu lagi dengannya.

Menyaksikan pertandingan debat Bahasa Melayu yang sudah bertukar menjadi warung kopi atau saling tidak tumpah seperti sidang parlimen, saya naik muak. Apalagi melihatkan bagaimana wakil-wakil yang berhormat boleh menang hanya dengan memutar belit hujjah tanpa fasih dan jelas membentang fakta. Saya tinggalkan Hakim dan debat Melayu menuju ke debat Bahasa Inggeris. Ketika memasuki ruang berkumpul yang besar serta padat, saya mengharung terus lautan manusia menuju ke bahagian belakang paling atas. Kebetulan, terjumpa lagi peserta debat yang saya bertanyakan jalan tadi. Saya bertanyakan bagaimana perlawanan tadi dan sebagainya (saya rahsiakan nama beliau dan sekolahnya). Kebetulan ketika itu pusingan ketiga Double-Octo diumumkan, saya terus mengikut mereka untuk ke pusingan seterusnya, sambil berborak tentang debat dan tekniknya.

Saya setia menunggu sehingga tamat pertandingan tersebut, sehinggalah pusingan tersebut mereka menang (saya masuk sekejap-sekejap, kerana pertandingan itu agak perlahan) dan guru pasukan lawan yang kalah (MRSM) mengucapkan tahniah kepada saya dengan berkata ‘tahniah cikgu, menang’. Saya cuma tersenyum tidak sempat berkata apa.

Saya terus mengikut kumpulan ini sehinggalah dipanggil pulang oleh Hakim. Esoknya saya masih hadir dan ditaqdirkan Allah, tetap berjumpa dengan kumpulan semalam. Kali ini nasib mereka tidak berapa baik, mereka tidak lepas ke pusingan seterusnya. Bintang (baca:mad’u) yang saya ketemu semalam pula batuk-batuk. Terus saya tawarkan untuk keluar mencari ubat batuk. Dan dia sendiri bersetuju. Kami keluar ke kawasan sekitar UIAM untuk mencari ubat tersebut, dan alang-alang kami keluar, saya terus bawa beliau makan tengahari. Ada banyak perkara yang kami bincangkan ketika makan. Usai, kami pulang semula ke UIAM.

Hari ini, baru saya terfikir betapa saya tidak ambil kira risiko melakukan perbuatan tersebut. Saya tidak terfikir tentang bahaya membawa beliau keluar dari kawasan UIAM, membelikan ubat batuk, membawanya makan. Apalagi risiko kemalangan mahupun kecurigaan. Dalam kepala saya, ia adalah Dakwah Fardiyyah dan saya tidak banyak berfikir untuk membuat perkara tersebut. Hari ini apabila mengenangkan kembali, saya bertanya kepada diri, kenapa beliau tetap ikut saya keluar, sedangkan saya baru kenal beliau tidak berapa lama. Bahkan, dia tidak pula menzahirkan kecurigaan kepada saya.

Alhamdulillah, natijahnya ukhwah masih terjalin, dan banyak perbincangan dan tautan mengambil tempat usai tempoh pertandingan itu. Teringat juga, kata-kata seorang ulama bahawa akhlak itu adalah apa yang terpacul dari dirimu. Sebagai du’at, adalah sesuatu yang esensi untuk kita menjelaskan niat, mengikhlaskan hati dalam menghidupkan kehidupan bersama Islam, sehinggalah Islam akan kekal bersama kita.

Saya berpendapat, dalam melaksanakan tuntutan dakwah, kita tidak perlu TERLAMPAU berkira-kira. Ada banyak cerita dan pengalaman ingin dikongsikan, tapi saya takut ia akan menjadi riya’ dan takabbur kerana saya juga manusia yang lemah. Tetapi kebenarannya ialah, berapa banyak pun yang kita belanjakan untuk dakwah ini, Allah tidak akan mensia-siakannya, bahkan mengganjar dan menggandakan lagi balasannya.

Adik-Adik Bercinta

Agak lama tidak menulis. Apabila sudah berada di dunia kerjaya sebagai pendidik yang menjangkaui setahun usianya, kerja dan tanggungjawab akan bertambah. Pengalaman dan ilmu baharu sentiasa bertambah, maka masa yang saya ada untuk menulis menjadi semakin sedikit. Apalagi dengan beberapa ‘hiccups’ dalam pelayaran kehidupan turut menyukarkan saya untuk terus cekal menulis. Baru-baru ini saya sempat menghadiri kursus pra-perkahwinan di salah sebuah masjid yang terkenal di Johor. Menghadiri kursus tersebut membuatkan saya mahu berkongsi pengalaman dan perasaan saya tentang perkahwinan itu sendiri.

Stigma

Apabila mendengar pengalaman kawan-kawan yang ke kursus pra-perkahwinan ini, saya sendiri berasa gusar dan tidak selesa. Apalagi bila tajuk-tajuk dan isu seksual dibincang secara terbuka. Bagi orang-orang yang kehidupannya tidak berlingkar sekitar isu ini, tentu ia sesuatu yang tidak sesuai, lebih menjelikkan kalau yang bercakap itu adalah ustaz ataupun ustazah. Resah gelisah saya menghadiri kursus ini. Tidak dinafikan, ia salah satu faktor kenapa saya melambat-lambatkan ke kursus ini selain daripada kerana sibuk di sekolah. Berat hati untuk pergi ke kursus ini, setiap kalinya juga.

Melihat Percintaan dari Kacamata Budak Kecil

Semasa kecil, cerita-cerita di kaca televisyen amat berbeza dengan apa yang anak-anak zaman sekarang tontoni. Jurang perbezaan moraliti dan akhlak serta sosio-budaya amat besar dalam cerita-cerita Melayu sekarang. Saya tidak pula mengatakan bahawa semuanya bagus dalam moral dan cerita Melayu zaman dahulu. Namun, apa yang ditayangkan pada saya dan kanak-kanak yang sezaman dengan saya ialah budaya berkenalan atau istilah berpasangan atau ber‘couple’ sebelum perkahwinan. Bertemu di bawah pokok, keluar makan dan berjalan-jalan dan lain-lain. Tidak banyak beza dengan apa yang diamalkan sekarang, bezanya cuma bagaimana televisyen hari ini memainkan wayangnya melampau di luar kotak kebudayaan dan adat resam ketimuran dan juga Islam.

Ketika itu saya bertanya kepada diri, ‘macam ini ke nak berkahwin?!’ ‘mampukah aku buat seperti ini?!’ ‘memang kena buat macam ini ke?!’ percaya ataupun tidak, itulah yang saya tanya pada diri. Namun, saya bersyukur kepada Allah kerana menjadikan saya orang yang tidak melayan perasaan ini. Lihatlah bagaimana pengaruh televisyen tersebut mempengaruhi minda, meskipun secara tidak sedar.

Adik-adik dan Percintaan

Saya yakin, adik-adik yang ber‘couple’ hari ini menanam impian untuk bersama-sama dengan orang yang dicintainya ke akhir hayat. Namun, apa yang adik-adik tidak sedar ialah, caranya tidak berapa nak betul. Ketika itu ada pula yang berkata ‘habis, macam mana kita nak kenal dengan orang yang kita nak kahwin kalau bukan dengan ber‘couple’. Baiklah, jom fahami isu ini dengan lebih mudah.

Saya ada seorang sahabat yang pernah bercerita tentang ‘couple’ ini dengan analogi yang mudah. Rasa sayang dan cinta ini adalah seperti coklat manis di dalam balang. Setiap kali kita keluar bersama-sama, rasa rindu terubat, rasa sayang kononnya menebal. Tetapi tanpa kita sedari, kita telahpun mengeluarkan sedikit demi sedikit coklat manis tadi. Dalam perkataan yang mudah, perasaan sayang tadi telahpun digunakan sebelum waktunya. Sehinggalah tiba waktunya di gerbang perkahwinan, perasaan sayang makin pudar. Rasa rindu semakin hilang, rasa cinta semakin lenyap.

Apa tidaknya, dahulu rasa rindu, rasa sayang, rasa cinta kerana si dia bukan milik kita, sekarang sudah di depan mata, sudah menjadi ‘milik’ kita, hilang sudah segala macam perasaan romantik. Ia, bukan semua kes seperti ini, tetapi kebanyakan kes cerai adalah seperti ini.

Ada banyak hal yang adik-adik masih belum selesai, benarkah mahu bersama si ‘dia’? saya katakan hal yang sama kepada anak-anak murid saya. Kalau benarlah si ‘dia’ sayangkan kita (adik-adik perempuan), dia tak akan keluar ber‘dating’ (dengan duit belanja yang mak ayah beri untuk ke sekolah) dengan kita, dia tidak akan pegang tangan kita, dia tidak akan berdua-dua dengan kita. Sebab saya dan adik-adik juga tahu bahawasanya tiada kebaikan yang datang daripada semuanya yang tersebut melainkan dosa dan fitnah. Akhirnya, menjadi popular di dada akhbar, ‘remaja lari dari rumah’, malu ibu dan ayah, malu keluarga. Kalau benar si dia sayangkan kita, dia akan pinang kita daripada ibu dan ayah kita. Betul?!

Timbul pula isu kedua, bersediakah pula si ‘dia’ untuk memimpin kita?! Bagaimana solatnya?! Bagaimana hafalan surahnya?! Lancarkah membaca al-Fatihah?! Bagaimana akhlaknya?! Dengan ibu-bapa, guru-guru, orang yang lebih tua, ilmu?! Adakah dia menjaga puasanya?! Lihatlah percakapannya sesama rakan-rakan, bagaimana pula dengan tajuk perbincangannya?! Sekarang, tanyalah pada diri adik-adik, kalau dirinya sendiri tidak terpimpin, bagaimanakah si dia mahu memimpin kita?! Adik-adik mahu berikan si ‘dia’ peluang?! Tiada masalah! Berikan dia peluang, tetapi jangan ber‘couple’ dalam tempoh ini, biarkan dia bersendirian kerana perubahan kepada kebaikan akan sentiasa diganggu syaitan, kerana itu ia memerlukan kepada konsentrasi dan bukan distraksi, kalau tidak, gagallah usaha adik-adik tadi.

Fahamilah

Adik-adik, cinta bukanlah suatu yang salah atau menyalahi fitrah. Kerana ia memang fitrah manusia, mahu ataupun tidak. Tetapi bagaimana kita menanggapi dan mengawal perasaan cinta itulah yang akan menentukan tinggi rendah iman kita. Bercinta tidak salah, bercinta selepas kahwin itu lebih romantik dan halal. Tatkala ia mendingin, Allah akan hantarkan sesuatu untuk menghangatkannya semula, seperti anak-anak, cubaan yang akan merapatkan hubungan sesama mereka.

Bercinta memerlukan persediaan, baik dari dalam mahupun luar. Baik dari fizikal mahupun mental. Baik rohani mahupun jasmani. Cinta bukan sekadar tentang material, lihatlah bagaimana Abu Bakr r.a. masih mampu untuk hidup bersama keluarganya sedang dia telah menginfakkan segala hartanya untuk agama. Sekiranya adik-adik bercinta dan berkahwin dengan cara yang salah, maka adik-adik akan terus melahirkan generasi anak-anak yang salah juga. Persiapkan dan sediakanlah diri adik-adik. Percayalah apabila saya katakan, sangat banyak hal-hal yang adik-adik perlu selesaikan sebelum sibuk dengan bercinta. Terlampau banyak urusan dan tanggungjawab yang perlu ditanggung kita semua.

Bermula.. Suatu Sorotan

Apabila saya menulis artikel Polemik Kecelaruan Identiti, saya mendapat respon daripada seorang senior saya daripada kursus B.Ed TESL juga. Kami berbincang tentang isu ini dengan mengaitkan pengalaman yang kami hadapi di sekolah, secara realitinya. Hakikat yang tidak dapat disangkal lagi ialah betapa kroniknya situasi yang melanda anak-anak remaja kita, bahkan yang masih dibangku sekolah rendah. Suatu hal yang menarik apabila para guru mula berbincang tentang isu-isu yang berkaitan dengan pelajar, ia akan menjadi sangat panjang dan terperinci.

Akhirnya, kami mencari solusi untuk menangani situasi ini. Muncullah ide untuk mewujudkan sebuah laman web khusus untuk remaja, dengan kesempatan internet kini menjadi akses mudah para remaja kepada informasi. Kami menghuraikan lagi tentang isi laman web ini dari genre sehinggalah kepada teknik penulisan yang berkesan buat para remaja.

Remaja tanpa dinafikan jumlahnya yang besar adalah amat signifikan kepada pertumbuhan dan perkembangan sesebuah negara. Bukan melihat kepada sumbangan mereka, tetapi melihat kepada pelaburan kita kepada masa depan mereka yang akhirnya akan mencorak dan membentuk tadbir negara juga. Membayangkan realiti hari ini yang membenarkan sebarang hubungan tanpa sempadan, baik di media, internet mahupun dalam kehidupan seharian, apakah alternatif yang terbaik untuk membawa dan mendidik para remaja?

Cara yang paling berkesan ialah dengan tarbiyyah. Itu pasti! Namun, dengan syarat dia mahu duduk bersama dan berusaha untuk menjayakan tarbiyyah tersebut. Itu adalah sasaran akhirnya, selepas segala usaha seperti jambori, karnival sukan, rehlah, jalan-jalan, dan sebagainya. Namun, bagaimana dengan mereka yang tidak tercapai dengan usaha ini?

Ketika ini, saya benar-benar memerlukan mereka yang tidak pandang enteng kepada usaha dakwah melalui kalam internet, saya perlukan orang yang komited dan mampu memberikan komitmen di samping tidak terleka dengan tugas dakwah hakiki.

Fasa seterusnya, pencarian penulis-penulis yang telah bermula sejak November lagi. Jujurnya amat sukar untuk mendapatkan penulis-penulis yang boleh menulis dengan teknik komunikasi dan mampu untuk menyampaikan mesej mereka dengan ringkas, padat dan jelas. Ciri-ciri ini sangat penting kerana attention span khususnya para remaja masa kini agak terhad, dan artikel yang ditulis perlu kepada kemampuan ataupun niche untuk menarik minat remaja untuk tetap membacanya.

Projek ini diuliti dan diteliti sejak hari pembeliannya hanya untuk memberikan yang terbaik kepada sasaran kami, yakni remaja. Namun, saya akui masih banyak lagi yang perlu diperbaiki untuk menarik lebih ramai remaja untuk terus membaca artikel-artikel di laman web ini. Pihak editorial Muslim Teen Digest berusaha sebaiknya untuk memberikan manfaat yang terbaik kepada anak-anak remaja Muslim di Malaysia.

Muslim Teen Digest akan terus memberi suapan terbaik untuk para remaja Muslim, terutamanya yang mahu mengenali dan mempelajari Islam dalam ertikata luasnya ibadah dan Islam itu sendiri. Pembaikan demi pembaikan akan terus dilakukan untuk memastikan bahawa kualiti adalah apa yang kami sajikan untuk para remaja. Dan saya secara peribadi mempunyai sasaran dan sebuah cita-cita yang besar untuk menarik para remaja kembali kepada jatidiri Muslim yang sejati.

Ketua Editor
Muslim Teen Digest
Emir Abu Khalil